RASUAH SEBAHAGIAN CARA HIDUP ATAU STRATEGI POLITIK!!!



Topik yang mungkin membosankan tetapi perlu diluahkan jua. Politik wang, bunyinya lembut dan tidak menjijikkan elok kiranya istilah yang lebih keras, lebih mengaibkan dan menjijikkan diperkenalkan iaitu "Rasuah Politik" .

Istilah yang lebih keras dan meloyakan itu mungkin boleh membantu mengurangkan amalan politik wang. Namun gejala politik wang tiada kena mengena langsung dengan istilah.

Amalan atau sikap kotor itu sebenarnya berkait rapat dengan etika dan sikap seseorang ahli politik itu. Kalau mereka masuk politik kerana kepentingan diri sendiri, maka politik wang atau rasuah politik tetap akan menjadi amalannya.

Kalau masuk politik kerana mahu tanah, konsesi balak, permit AP, saham, lesen kontraktor kelas F, pangkat dan kedudukan, kumpulkan dan ciptalah pelbagai istilah yang kotor dan menakutkan, ia tetap tidak dapat menangani gejala tersebut.

Sedangkan undang-undang anti-rasuah yang ada dalam negara ini tidak ditakuti oleh orang2 politik, inikan pula sekadar satu istilah!

Oleh itu, tidak perlulah membuang masa untuk mencipta istilah baru. Lebih baik difikirkan cara lain yang lebih berkesan untuk menangani politik wang atau rasuah politik.

Sebenarnya bukan istilah yang perlu ditukar tetapi pendekatan dalam menangani masalah itu perlu diubah.

Tindakan keras patut dikenakan terhadap pengamalnya tanpa memilih bulu. Tambahan pula RUU Pencegahan Rasuah juga telah dipinda.

Pendekatan tegas menerusi undang-undang rasanya lebih berkesan daripada istilah yang lebih keras atau menjijikkan. Tidak dinafikan ada sesetengah orang politik telah mengambil beberapa langkah bagi membasmi masalah ini. Pelbagai peraturan dan etika pemilihan telah dilaksanakan dan ramai pemimpin telah dikenakan hukuman.

Penciptaan istilah yang keras dan kotor tidak akan membersihkan orang politik daripada rasuah politik jika orang politik sendiri tetap menganggap rasuah bukan suatu yang kotor dan haram.

Apabila rasuah dianggap sebagai sebahagian daripada cara hidup atau strategi politik atau teknik berurusniaga, maka ia tidak mungkin boleh dibasmi!

Comments