CADANGAN SATU SEN BUAT SPRM



Syabas kepada SPRM di atas kejayaan menambah bilangan penyiasatan, pendakwaan, sabitan (conviction), rampasan harta dan membantu kerajaan mengesan penyelak cukai korporat.

KS bertambah yakin bahawa undang-undang semata-mata tidak akan berjaya dan berupaya mengatasi gejala rasuah yang termasuk di dalam pentakrifannya penyalahgunaan kuasa.

Berikut adalah pendapat, pemerhatian dan cadangan satu sen KS kepada SPRM dan mana-mana juga individu dan kumpulan yang mengambil berat mengenai rasuah dan penyalahgunaan kuasa serta mahu membanterasnya daripada menjadi lebih buruk:

Undang-undang pencegahan rasuah boleh dipinda dan diperkukuhkan, tetapi pembasmian rasuah dan penyalahgunaan kuasa tidak akan berjaya selagi aspek moral dan ketelusan tidak dilaksanakan. Banyak kes-kes berkaitan rasuah dan penyalahgunaan kuasa lebih berupa kes moral daripada undang-undang. Contohnya, Menteri, Menteri Besar dan Ketua Menteri boleh mengisytiharkan percanggahan kepentingan (conflict of interest) dan menarik diri daripada membuat keputusan apabila projek, kontrak dan permohonan yang dibincangkan membabitkan ahli keluarga atau kawan akrab mereka. Tetapi semua orang tahu, iaitu sekalipun mesyuarat diserahkan kepada orang lain, misalnya Ketua Setiausaha Kementerian atau Ahli Exco, pengaruh Menteri, Menteri Besar dan Ketua Menteri tetap ada. Mereka hanya perlu “mengenyitkan mata” dan yang perlu berlaku akan berlaku.

Cadangan supaya Menteri, Menteri Besar, Ketua Menteri dan Ahli Exco tidak membenarkan ahli keluarga mereka terbabit dengan projek dan aset negara, seperti tanah dan konsesi balak, perlu dipertimbangkan.

Adalah kebiasaan sejak sekian lama bagi pegawai-pegawai tinggi kerajaan, hakim, pegawai tinggi polis dan tentera diambil sebagai pengarah atau rakan kongsi oleh sektor swasta sebaik sahaja mereka bersara. Bukan itu saja, banyak daripada mereka menyertai syarikat atau usahawan yang dulunya mereka tolong ketika dalam perkhidmatan awam. Untuk tujuan ini eloklah diwujudkan satu tempoh idah atau “cool off period”, mungkin setahun dua atau lebih sebelum mereka boleh menyertai sektor swasta ataupun memohon kontrak-kontrak kerajaan.

Di mana siasatan SPRM tidak memperoleh cukup bukti untuk mendakwa anggota Kabinet, Menteri Besar, Ketua Menteri, pegawai-pegawai kanan kerajaan dan ketua-ketua pegawai eksekutif sektor swasta, pihak pejabat Peguam Negara perlu diarah supaya membentangkan laporan penyiasatan itu untuk pengetahuan umum. Kaedah ini boleh membantu, secara moral, menyingkirkan anggota Kabinet, Menteri Besar, Ketua Menteri, pegawai-pegawai kanan kerajaan dan ketua-ketua pegawai eksekutif sektor swasta yang terbabit dengan rasuah dan penyalahgunaan kuasa, tetapi tidak cukup bukti atau tidak dapat didakwa atas sebab-sebab teknikal.

Pemberian kontrak secara terbuka dan telus bukanlah perkara asing bagi negara kita. Pada tahun 70-an dan 80-an, pemberian kontrak kerajaan amat telus dan terbuka sehinggakan wakil media dijemput membuat liputan pembukaan tender dan pemberian kontrak.

Bagi mengelakkan pilihan raya dijadikan sebagai alasan mengutip wang dan berkemungkinan juga diambil peluang untuk melalukan money laundering adalah amat perlu diwujudkan satu kaedah yang telus dan terbuka berkaitan pembiayaan politik (political funding).

Di peringkat bawahan pula, rasuah telah banyak berkurangan hasil daripada penambahbaikan sistem dan urusan di pejabat-pejabat kerajaan. Penggunaan teknologi maklumat dan telekomunikasi (ICT), khususnya urusan atas talian, telah banyak menutup peluang kakitangan awam meminta rasuah dan menyalahgunakan kuasa.

Pihak penguatkuasaan, khasnya SPRM, perlu mengkaji dan bertindak tegas terhadap apa yang disebut sebagai rasuah bersindiket (syndicated corruption) di mana pihak penguat kuasa melakukan rasuah dan penyalahgunaan kuasa secara berpasukan. Masalahnya, bagaimanakah pihak penguatkuasaan boleh memerangi dan membanteras rasuah dan penyalahgunaan kuasa kalau mereka sendiri dianggotai oleh kakitangan yang menyeleweng?

Undang-undang sahaja tidak memadai. Peperangan terhadap rasuah dan penyalahgunaan kuasa perlu juga merangkumi aspek moral. Sekalipun anggota Kabinet, Menteri Besar, Ketua Menteri, pegawai-pegawai kanan kerajaan dan ketua-ketua pegawai eksekutif sektor swasta tidak dapat didakwa kerana kekurangan bukti, mereka boleh “dimalukan” supaya meletakkan jawatan atau hadapi kemungkinan ditolak oleh rakyat jelata.

Pujukan moral (moral suasion) boleh digunakan sebagai senjata menyekat perbuatan rasuah dan penyalahgunaan kuasa, dan memaksa mereka yang terbabit, tetapi tidak dapat didakwa kerana kekurangan bukti supaya meletakkan jawatan.

Hanya satu sen!

Comments